Oleh : Safura
Foto : Abu Fairuz / Hamzi Faiz
BENTONG. 14 September 2020 Bersamaan 26 Muharam 1442 Hijrah – “Diinspirasikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan Majlis, zakat sebagai asas kepada pemulihan orang-orang yang benar-benar asnaf 8,” ucapan oleh Yang Berbahagia Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Shukor bin Haji Husin, Pengerusi Jawatankuasa Zakat Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang merangkap ahli Majlis, Majlis Ugama Islam Pahang semasa sesi ucaptama bertajuk ‘Hala Tuju Pengurusan Zakat (Kutipan dan Agihan) di Bengkel Zakat 2020.
Bengkel yang berlangsung selama dua hari itu bertempat di Cherengin Hills Convention & Spa Resort, Janda Baik, diadakan bertujuan untuk meningkatkan prestasi pengurusan dan penyampaian zakat oleh Majlis Ugama Islam Pahang. Selain itu juga, objektifnya adalah mendapatkan pandangan dan cadangan daripada peserta bagi memurnikan serta menambah baik pengurusan dan proses penyampaian zakat, sekali gus memperbaharui tekad ke arah membina semangat kerja dalam memperkasakan mekanisme agihan zakat.
Manakala Yang Hormat Setiausaha Majlis Ugama Islam Pahang, Dato’ Ahmad Hairi bin Haji Hussain dalam ucapannya, beliau berbangga dengan pengurusan agihan yang semakin cepat. “Tingkatkan lagi pengurusan zakat dan agihan, kredibiliti semasa bertugas, saling berkomunikasi semasa bertugas serta mengikuti dasar yang ditetapkan,” ucapnya lagi.
Bengkel Zakat 2020 ini melibatkan seramai 32 orang peserta yang terdiri daripada kakitangan ibu pejabat dan 14 cawangan Majlis Ugama Islam Pahang. Semasa hari pertamanya, turut dihadiri oleh Yang Hormat Pengurus Besar Kanan, Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZ), Dato’ Haji Halidan bin Md Daud dan Pegawai-pegawai PKZ.