KUANTAN, 11 JULAI 2021: Tidak senang duduk. Itulah sikap yang ditunjukkan oleh KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah apabila mengenangkan nasib rakyat sepanjang tempoh PKP dan fasa pemulihan negara ketika ini. Memikirkan nasib rakyat yang kurang bernasib baik ketika ini, Baginda berkenan untuk menyantuni beberapa penduduk di sekitar Kg.Pandan Kuantan hari ini.
Antara kawasan yang diziarahi Baginda dalam sesi kali ini ialah Kg.Pandan 1 dan Kg. Pandan 2, Kuantan. Sebanyak 11 buah keluarga telah disantuni oleh Baginda. Kebanyakan mereka terdiri daripada golongan memerlukan seperti ibu tunggal, OKU dan pesakit-pesakit yang memerlukan rawatan berkala. Atas keprihatinan dan cakna, Baginda telah mengurniakan sumbangan tunai dan beberapa barangan asas kepada keluarga-keluarga ini disamping beramah mesra bersama ahli keluarga.
Baginda berpesan kepada semua agar terus mematuhi SOP dan mendoakan agar semuanya dapat kembali pulih seperti biasa. Turut hadir mengiringi, Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, YH. Dato’ Ahmad Hairi bin Hussain dan Pengurus MUIP Cawangan Kuantan, Ustaz Mohd Khairuddin bin Husin.