JENGKA. 30 Disember 2020 Bersamaan 15 Jamadilawal 1442 Hijrah – Tiga puluh tujuh Felda di Wilayah Jengka berjaya mengumpulkan kutipan sejumlah RM315,000 hasil daripada program sumbangan sedekah yang dilaksanakan oleh pengurusan Felda. Majlis penyerahan sumbangan disampaikan oleh Yang Berbahagia Tuan Haji Sulaiman bin Bakar, Ketua Peneroka FELDA Wilayah Jengka kepada pihak Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang, Yang Berbahagia Encik Khairuddin bin Ismail, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan dan Dasar).
Majlis yang berlangsung di Dewan Semai Bakti FELDA Jengka 10 dihadiri bersama Yang Berhormat Dato’ Haji Ahmad Nazlan bin Idris, Ahli Parlimen Jerantut, Yang Berbahagia Encik Azlan bin Zunaidak, Penolong Pengurus Besar Wilayah, FELDA Wilayah Jengka dan Yang Berbahagia Puan Zariah binti Ustaz Haron, Pengerusi GPW FELDA Wilayah Jengka. Sumbangan sedekah ini akan disalurkan kepada mereka yang memerlukan.
Majlis pada pagi tadi juga turut diadakan forum “Sedekah menambah rezeki dan MUIP tonggak kemajuan Islam” oleh ahli panel dari MUIP, Yang Berbahagia Ustaz Mohd Isa bin Husain, Pengurus Cawangan Daerah Jengka dan Ustaz Nik Ahmad Tarmizi bin Nik Lam, Pengurus Cawangan Daerah Jerantut. Pada tahun ini sahaja, pihak MUIP telah pun mengagihkan RM6.9 juta bantuan zakat kepada warga Felda di seluruh daerah di negeri Pahang yang merangkumi bantuan zakat pendidikan iaitu Dermasiswa dan Awal IPT, Bantuan Bulanan, Bantuan Am serta agihan menerusi permohonan bantuan oleh pihak surau, sekolah dan agensi.

Carta Organisasi Majlis
Skip to content