Kuantan,28 Januari 2021 : Pusat pengajian tahfiz, madrasah dan pondok yang beroperasi sepanjang tempoh PKP atau PKPB akan dipantau oleh pihak berkuasa agama Negeri Pahang. Pemantauan yang diadakan bermula pada hari ini dilaksanakan bertujuan bagi memastikan pentadbir sekolah mematuhi syarat-syarat beroperasi yang telah ditetapkan. Mengambil maklum akan penularan kes jangkitan Covid-19 yang berlaku melibatkan institusi pendidikan di sebuah daerah di Negeri Pahang, pemantauan ini diharapkan dapat memberi informasi yang tepat dan jelas berkenaan peri pentingnya pentadbir sekolah memastikan langkah-langkah pencegahan jangkitan daripada luar kawasan sekolah dan asrama dapat dicegah.

Ini kerana pelajar telah berada di kawasan asrama yang selamat dan berkemungkinan akan terdedah kepada jangkitan dan penularan jika aspek keselamatan dan SOP tidak diambil berat. Sebanyak 36 buah sekolah di daerah Kuantan akan dibuat pemantauan secara berkala dan akan diikuti pemantauan di daerah-daerah lain. Mengetuai pemantauan pada hari ini ialah Y.Brs Dr. Haji Asmadi bin Abdul Rahman selaku Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif ( Baitulmal dan Operasi ) MUIP dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JAIP, Tuan Muhamad Yusri bin Aman. Hadir sama Ketua Unit Pendidikan MUIP, Pengurus MUIP Daerah Kuantan serta pegawai-pegawai bahagian Penguatkuasaan JAIP.

Sejak bermulanya pelaksanaan PKPB pada tahun lalu, Negeri Pahang di antara negeri yang membenarkan pusat tahfiz dan pondok beroperasi dengan syarat-syarat dan SOP yang ditetapkan setelah mendapat pandangan daripada Majlis Keselamatan Negara ( MKN ) dan Kementerian Kesihatan Malaysia ( KKM). Adalah diharapkan warga pusat pengajian tahfiz dan pondok ini dapat meneruskan membuat solat hajat dan berdoa agar wabak ini diangkat segera dan rakyat Negeri Pahang terus dipelihara, makmur sejahtera.

Carta Organisasi Majlis
Skip to content