KUANTAN. 9 Oktober 2020 Bersamaan 21 Safar 1442 Hijrah – Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja Leftenan Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang hari ini melawat Kompleks Asnaf Majlis Ugama Islam Pahang, Kampung Pahang, Jalan Sungai Soi yang menempatkan 45 penghuni terdiri daripada golongan asnaf fakir, miskin, muallaf, fisabilillah serta riqab. Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja tiba di kompleks itu dan disambut oleh Yang Hormat Setiausaha Majlis Ugama Islam Pahang, Dato’ Ahmad Hairi bin Haji Hussain, Pegawai MUIP dan pengurusan kompleks.

Pada lawatan itu, Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja dibawa melawat persekitaran serta kemudahan-kemudahan yang disediakan di Kompleks Asnaf MUIP dan turut diberi taklimat ringkas perkembangan semasa pengurusan kompleks oleh Yang Berbahagia Ustazah Nor Rosyidah binti Mohamed Tahir, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam yang mengurus hal ehwal pengurusan kompleks berkenaan.

Kompleks Asnaf Majlis Ugama Islam Pahang dibangunkan di atas tanah wakaf seluas 3.4 ekar dengan kos pembinaan berjumlah RM3.5 juta pada fasa pertama. Kompleks ini mula beroperasi pada Oktober 2010 untuk memberi perkhidmatan perlindungan kepada asnaf. Pada tahun 2016, kompleks ini mengambil inisiatif memberi perlindungan kepada pesakit terlantar bagi mengimbangi pusat jagaan milik non-muslim. Justeru itu, sebuah blok asrama dua tingkat dibina untuk penempatan penghuni berkenaan. Majlis Ugama Islam Pahang optimis mengembangkan fungsi dan peranan Kompleks Asnaf bagi memberikan manfaat kepada masyarakat Islam serta memanfaatkan tanah wakaf yang diamanahkan ini untuk pembangunan umat Islam.

Hadir sama, Yang Berbahagia Pegawai Ehwal Ekonomi Kanan, Encik Izhar bin Ahmad, Pegawai Tadbir, Encik Izwan Iskandar bin Nashrudin, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Unit Fakir Miskin, Ustaz Mohd Nasrul Hakim bin Mat Daud dan Pembantu Hal Ehwal Islam Kompleks Asnaf MUIP, Ustaz Mohd Taufiq bin Ishak.

Wartawan : Safura
Foto : Hamzi / Fairuz

Carta Organisasi Majlis
Skip to content