JERANTUT. 28 Ogos 2020 Bersamaan 9 Muharam 1442 Hijrah – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat bercemar duli melawat lokasi kebakaran di Sekolah Menengah Agama Ihyail Al-Maarif, Ulu Cheka setelah selesai baginda menunaikan solat Jumaat di Masjid Kampung Ulu Cheka hari ini.

Baginda diiringi pengetua sekolah, Yang Berbahagia Ustaz Abdul Ghani Abdul Kadir melawat sekitar tempat kejadian kebakaran yang menyebabkan kemusnahan sebuah blok asrama lelaki manakala dewan serta dua buah kelas mengalami kerosakan pada bumbung dan perabot kerusi juga meja. Turut mengiringi, Yang Hormat Setiausaha Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang, Dato’ Ahmad Hairi bin Haji Hussain.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang yang juga merupakan Tuanku Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang berkenan mengurniakan sumbangan peribadi dan bantuan bencana zakat berupa wang tunai dan uniform kepada 14 orang pelajar yang terlibat berjumlah RM7 ribu.

Sekolah ini menempatkan 61 orang pelajar berserta 15 tenaga pengajar merupakan salah sebuah daripada 4 buah Sekolah Menengah Ugama Majlis. Dalam kejadian kebakaran pada 26 Ogos yang lalu jam 9.15 pagi itu disedari oleh guru yang bertugas apabila terlihat percikan api di bangunan asrama terbabit. Walau bagaimanapun, semua pelajar selamat berikutan tiada di asrama semasa kejadian.

Carta Organisasi Majlis
Skip to content