Pekan, 8 Januari – Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang merupakan agensi yang dikenali oleh masyarakat umum sebagai sebuah agensi yang banyak memberikan bantuan kepada rakyat negeri Pahang beragama Islam yang kurang berkemampuan mengikut kategori-kategori asnaf yang lapan. Antara bantuan yang diberikan adalah bantuan bulanan dan bantuan modal peralatan.

Bermula tahun 2016 sehingga Disember 2019, MUIP telah memberikan bantuan bulanan baucer barangan kepada 3150 orang asnaf fakir dan miskin dengan jumlah agihan wang zakat yang digunakan sebanyak RM 20.67 juta. Bantuan baucer barangan ini digunakan oleh penerima bantuan bulanan untuk membeli barangan keperluan asas di pasaraya-pasaraya milik MUIP iaitu Pasaraya Darul Makmur (PDM) di seluruh negeri Pahang.

Seiring dengan teknologi terkini yang menggunakan pelbagai perkhidmatan secara elektronik, maka MUIP mengambil satu langkah yang lebih proaktif dan berkesan dalam memberikan bantuan kepada golongan sasar asnaf fakir dan miskin dengan kaedah penggunaan baucer secara elektronik menggunakan my kad penerima bantuan.

E-Purse merupakan perkhidmatan secara elekrtonik yang digunakan untuk kemudahan penerima-penerima bantuan baucer bulanan MUIP yang sebelum ini menggunakan kepingan baucer yang diambil di MUIP cawangan untuk pembelian barangan-barangan keperluan di Pasaraya Darul Makmur (PDM).

E-Purse ini telah mula diperkenal dan digunakan bermula 1 Januari 2020 dan sehingga 7 Januari 2020 sebanyak RM 80 ribu telah dibelanjakan oleh asnaf di seluruh negeri Pahang. Adalah dimaklumkan di sini juga, MUIP bekerjasama dengan 11 buah Pasaraya Darul Makmur (PDM) di seluruh negeri pahang bagi menjayakan perkhidmatan E-Purse ini dan semua penerima bantuan, boleh menggunakan baucer secara elektronik ini di mana-mana cawangan PDM. Antara daerah yang mempunyai Pasaraya Darul Makmur PDM adalah Kuantan, 3 buah, Maran, Pekan, Jengka, Raub, Lipis, Jerantut, Temerloh dan Muadzam Shah dengan masing –masing 1 buah.

Antara kelebihan atau faedah yang boleh didapati kepada pengguna E-Purse ini adalah dapat menjimatkan masa tanpa perlu ke MUIP cawangan untuk mengambil baucer, baki lebihan penggunaan boleh dibawa ke bulan seterusnya dan asnaf boleh berbelanja di mana-mana sahaja PDM di seluruh Pahang. Disamping itu, bantuan MUIP ini adalah untuk membeli keperluan asas seperti beras, gula, minyak dan lain-lain keperluan, maka pihak MUIP telah menetapkan beberapa barangan yang tidak termasuk dalam keperluan asas hidup seperti barangan kecantikan dan barangan elektrik adalah tidak boleh dibeli dengan menggunakan E-Purse ini.

Selain daripada bantuan tadi, MUIP juga telah memberikan bantuan modal berbentuk peralatan kepada golongan-golongan asnaf. Antara bantuan modal peralatan yang pernah diberikan adalah seperti mesin jahit, mesin jahit tepi, mesin pengadun tepung, peti sejuk beku, oven, enjin bot dan mesin rumput. Pada tahun 2019, sebanyak RM 317,789.00 bantuan modal peralatan telah diberikan kepada 149 orang asnaf dan daripada jumlah ini 15 orang penerima adalah di daerah Pekan. Hasrat MUIP, semoga bantuan peralatan yang diberikan oleh MUIP ini digunakan untuk membaiki taraf hidup dan seterusnya dapat meningkatkan pendapatan isi rumah sehingga keluar sebagai golongan asnaf dan menjadi salah seorang pembayar zakat.

Carta Organisasi Majlis
Skip to content