PEKAN. 5 Ogos 2020 Bersamaan 15 Zulhijjah 1441 Hijrah – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berangkat ke Kompleks Islam Sultan Haji Ahmad Shah di sini, pagi tadi. Baginda berkenan menyempurnakan Majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang, Yang Hormat Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri bin Abu Bakar.

Selesai majlis angkat sumpah ahli Majlis, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berangkat meninggalkan majlis. Majlis diteruskan dengan Mesyuarat Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang kali ke-180 yang dipengerusikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku Tuanku Yang Dipertua Majlis.

KDYMM Tuanku Yang Dipertua merafak ucapan sembah tahniah sempena ulang tahun hari keputeraan paduka ayahanda, semoga diberi kekuatan untuk kekal bersemayam di atas takhta pemerintahan dengan penuh kedaulatan dan kesejahteraan, sentiasa dalam lindungan dan rahmat-Nya serta dilanjutkan usia dan sihat walafiat. “Selamat Hari Raya Aidiladha. Semoga falsafah daripada ibadah korban ini dihayati dan menjadi panduan dalam hidup kita semua. “Saya ucapkan tahniah kepada Yang Hormat Dato’ Indera Nazri bin Abu Bakar atas pelantikan sebagai ahli Majlis yang baharu. Semoga beliau akan dapat memberikan pandangan dan buah fikiran bagi memajukan lagi organisasi ini.

Titah baginda, “Sifat benar dalam percakapan, amanah dalam perbuatan, jelas dalam penyampaian dan bijaksana dalam pemikiran, adalah perkara yang perlu kita sentiasa didik, bentuk, corak serta berikan tumpuan supaya menjadi orang yang istiqamah dan cemerlang pada semua aspek kehidupan.” “Zakat dan wakaf berperanan sebagai pemangkin memperkasa serta membangunkan ekonomi kepada umat Islam. Maka, sentiasa mengadakan promosi zakat dan wakaf bagi menggalakkan lebih ramai umat Islam sedar akan kewajipannya serta memahami akan perkara ini.

“Kejayaan dan kecemerlangan Majlis selama ini bukan sahaja terletak kepada pimpinan yang menerajui Majlis, juga hasil sokongan, dokongan dan sumbangan padu yang diberikan oleh semua peringkat di kalangan pegawai dan kakitangan Majlis. Justeru, saya menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pegawai dan kakitangan Majlis yang telah dan terus memberikan sokongan, dokongan dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Majlis,” titah baginda.

Turut sama hadir, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail, Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja Leftenan Kol. Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Timbalan Yang Dipertua Majlis, Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin bin Ishak, Yang Hormat Setiausaha Majlis, Dato’ Ahmad Hairi bin Haji Hussain dan ahli-ahli Mesyuarat Majlis.

Carta Organisasi Majlis
Skip to content