KUANTAN, 19 Januari 2021 : Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) hari ini menyerahkan bantuan berjumlah RM 2 juta kepada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) melalui sumbangan bantuan sentuhan kasih MAIWP.

KDYMM Pemangku Raja Pahang selaku Yang Dipertua MUIP telah berkenan untuk menerima sumbangan tersebut bagi pihak MUIP dalam satu acara ringkas yang diadakan di Istana Abdul Aziz, Kuantan. Sumbangan ini telah diserahkan oleh YB Datuk Ahmad Marzuk bin Shaary, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sambil disaksikan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy bin Wan Ismail.

Pihak MAIWP memaklumkan bahawa, mereka mengambil maklum tentang kejadian banjir yang telah menimpa beberapa buah negeri termasuklah negeri Pahang. Sehubungan dengan itu, mereka telah melancarkan sumbangan sentuhan kasih ini sebagai satu inisiatif bagi membantu mangsa banjir yang terkesan. Selain itu, sumbangan kepada pihak MUIP pada hari ini telah dikhususkan untuk membantu membina rumah mangsa yang terkesan akibat banjir di negeri Pahang.

Turut hadir bersama YBhg. Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar, Pengerusi MAIWP, YBrs. Encik Mohd Nizam bin Haji Yahya, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, YH Dato’ Ahmad Hairi bin Hussain dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, YBrs. Dr. Asmadi bin Abdul Rahman.

Carta Organisasi Majlis
Skip to content