KUANTAN. 16 Oktober 2020 Bersamaan 28 Safar 1442 Hijrah – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah petang tadi berangkat bercemar duli melawat sekeluarga yang ditimpa bencana kebakaran.

Baginda yang juga merupakan Tuanku Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang berkenan menyantuni Encik Roslan bin Abdullah sekeluarga di Kampung Bukit Palas, Cherating selesai baginda menunaikan solat Jumaat.

Ketibaan baginda disambut oleh Yang Hormat Setiausaha Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang, Dato’ Ahmad Hairi bin Haji Hussain. Hadir sama, Yang Berbahagia Pegawai Hal Ehwal Islam MUIP Cawangan Kuantan, Ustaz Muhammad Khairuddin bin Husin.

Baginda dibawa melawat ke tempat kejadian serta turut berkenan mengurniakan sumbangan peribadi dan Bantuan Zakat Bencana MUIP berupa wang tunai dan hamper barangan keperluan makanan bagi meringankan beban mangsa.

Kejadian kebakaran yang berlaku pada 3.15 petang semalam memusnahkan rumah Encik Roslan yang ditempati bersama-sama isteri dan 7 orang anak beliau. Walauimanapun, tiada kemalangan jiwa dalam insiden itu.

Carta Organisasi Majlis
Skip to content