PEKAN, 28 Mei – Pelaksanaan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) adalah bertujuan untuk mewujudkan suasana kerja yang kondusif serta membudayakan persekitaran yang kreatif dan berinovasi dalam kalangan kakitangan.

Melihat kepada kepentingan itu, MUIP telah mengorak langkah ke hadapan dengan mengambil inisiatif bagi melaksanakan EKSA diperingkat MUIP dan telah disambut baik oleh seluruh warga Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang.

Hari ini, bertempat di Dewan Syarahan, Kompleks Islam Sultan Haji Ahmad Shah telah berlangsung Majlis Pelancaran EKSA yang telah disempurnakan oleh YH. Dato’ Ahmad Hairi bin Haji Hussain, Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, diiringi Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MUIP.

Seluruh warga MUIP termasuk kakitangan dari 14 buah cawangan di seluruh daerah Negeri Pahang dan kakitangan di Kompleks Asnaf bersama-sama menyertai majlis ini sama ada secara fizikal mahupun secara dalam talian.

‘Suasana kondusif amat penting bagi memastikan perkhidmatan dapat dipertingkatkan dari segi kualiti dan melambangkan kesungguhan kita dalam pekerjaan seharian. Selain itu, ia akan membawa imej yang murni kepada para pelanggan dan pelawat yang berurusan di MUIP’, kata Ketua Pegawai Eksekutif MUIP dalam ucapannya.

Beliau turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada semua pihak yang telah menunjukkan komitmen yang baik bagi melaksanakan EKSA dan seterusnya bersama-sama dalam aktiviti gotong royong yang dijalankan secara serentak pada hari ini yang melibatkan 14 cawangan dan Kompleks Asnaf.

Diharapkan menerusi program EKSA ini, semua pihak dapat berganding bahu serta bekerja sama dalam mencapai objektif bagi mewujudkan suasana kerja yang selesa dan bersih sekaligus dapat meningkatkan perkhidmatan MUIP terutamanya kepada masyarakat di negeri ini.

Carta Organisasi Majlis
Skip to content