Kuantan, 22 Februari 2024 bersamaan 12 Syaaban 1445-Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) hari ini melancarkan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) bagi meningkatkan usaha memerangi jenayah rasuah, selaras dengan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 untuk mewujudkan Negara bebas rasuah.
Sempena sambutan tersebut, turut diadakan Majlis Melafaz dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, YH. Dato’ Ahmad Hairi bin Hussain yang disaksikan oleh Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang KPKPj Encik Hairuzam bin Mohmad Amin @ Hamim.
Inisiatif MUIP melancarkan OACP telah mencerminkan komitmen organisasi dalam usaha membanteras aktiviti rasuah selain memperkukuhkan amalan integriti dalam organisasi. Diharapkan dokumen OACP yang dilancarkan bukan bersifat ceremonial sahaja bahkan ia perlu diteruskan dengan pelaksanaan langkah pencegahan rasuah, pelan tindakan risiko rasuah dan pemantauan yang berterusan sehingga integriti dijadikan sebagai budaya harian , sama ada dalam tugasan rasmi atau urusan peribadi.
Majlis Pelancaran Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) MUIP 2024-2028 mempunyai 5 strategi, 22 objektif strategik, 105 inisiatif termasuk 65 inisiatif jangka pendek (1-2 tahun) dan 40 inisiatif jangka panjang (3-5 tahun). Kesemua pelan ini akan dilaksanakan bagi menangani isu integriti, tatakelola dan antirasuah dalam organisasi. Turut diselitkan pelancaran collar pin antirasuah MUIP.
Hadir sama pada majlis tersebut adalah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan dan Dasar) Encik Khairuddin bin Ismail, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) Ybrs. Dr. Asmadi bin Abdul Rahman, wakil dari Institut Integriti Malaysia (IIM) Encik Muhammad Afiq Zharfan bin Ibrahim , Penguasa SPRM, Pengarah-Pengarah Bahagian MUIP, Ketua-Ketua Unit serta warga kerja MUIP.